(Tulisan dedikasi khusus untuk kakitangan seliaan, Allahyarhamah Puan Khadijah binti Abdullah; 10 Julai 1957 ~ 11 April 2010. Semoga rohnya dicucuri rahmat)
sayu terpisah
hikayat indah kini hanya tinggal sejarah
berhembus angin rindu
begitu nyamannya terhidu wangian kasihmu
hujan lebat mencurah kini
bagaikan tiada henti
kaulah laguku kau irama terindah
tak lagi kudengari
kau pergi.. pergi..
sepi tanpa kata
terdiam dan kaku tak daya kau kulupa
apa pun kata mereka
biarkan kenangan berbunga di ranting usia
Hari ini masih terasa lagi dia di tepi pintu bilikku. Kehadirannya ke pejabat walaupun dengan derap langkah yang perlahan dan berhati-hati namun penuh terisi dengan semangat juang yang tinggi. Kesetiaannya hadir bertugas saban hari walaupun dengan kudrat yang terbatas amat mengagumkan setiap orang. Namun minggu-minggu terakhirnya dipenuhi dengan cuti sakit dan natijahnya dia dijemput pulang tanggal jam 1.15 pagi, 11 April 2010 yang lalu.
Aku amat berasa ralat kerana tidak sempat menziarahi Allahyarhamah ketikanya sakit ataupun sebelum dia dikebumikan. Berkebetulan pada masa itu aku ke Kuala Lumpur atas urusan peribadi. SMS yang kuterima daripada rakan setugas Allahyarhamah (yang juga pegawai di bawah seliaanku) amat mengejutkan. Tidak disangka-sangka dia pergi tanpa memberikan sebarang petanda. Mungkin teman-teman rapatnya menyedari perubahan pada dirinya namun padaku semasa akhir-akhir hari aku bersamanya ku dapati dia jarang sudah mengucapkan "pulai Zul, pulai!" dalam bahasa Iban yang bermaksud balik Zul, balik!
Masih terngiang-ngiang suaranya di hujung cuping telingaku bertanyakan hal ehwal tempat kelahirannya, Kota Samarahan yang mana menjadi tempat kediaman tumpang berteduhku buat sementara ini. Sering ungkapan ini dituturkannya, "Samarahan ujan sik aritok Zul?" Jika tidakpun dia bertanya "Giney Muara Tuang Zul?" Sering kuintai wajahnya dari bucu jenang pintuku, melihatnya berehat melepaskan lelah dan derita pada tubuhnya. Tak mengapa padaku, kegigihannya untuk menghadirkan diri sudah cukup bererti bagi kami semua. Namun kehilangannya tetap terasa walaupun kami berupaya tersenyum hambar cuma ketika ini.
Terbayang gelagatnya bersamaku beberapa bulan lalu. "Kak teringin nak makan dodol Zul." Walaupun kedengaran nada gurauannya namun itu tetap kupandang sebagai hajat. Mujur ketika itu bulan puasa dan aku akan berangkat pulang ke kampung beberapa ketika. Lantas aku pesan pada Ibunda agar mencari dodol yang paling popular di sekitar pekan rumahku. Alhamdulillah berhasil.... Terima kasih Ibunda....
Jelas wajah terharu terpamer pada riak mukanya. Terkejut dengan ole-ole yang langsung tidak disangka-sangka itu. Pemberian kami sekeluarga diterima dengan gembira seraya bertanya, ""Ini kira berapa Zul?". Aku sekadar membalas sambil tersenyum, "Ish..tak payahlah Kak, sekali-sekala"
Pernah ulah nakal kami berdua menjadi bahan mencuit hati kakitangan lain. Ketika itu aku ingin memberikan barang (sudah kulupa apa barangnya; mungkin berkaitan dengan borang). Tidak semena-mena ide nakalku beraksi. Aku berlutut di hadapannya sambil menghulurkan kedua-dua belah tanganku sambil berlagak seperti menghulurkan bunga atau barang hadiah kekasih dan mengharap diterima pemberianku. Namun yang agak menghiburkan, dibalasnya dengan dialog yang biasa didengar dan dilihat.. "Nehi... Nehi... Nehi..!". Umpama Lata Mangeshkar menyanyikan lagunya; telatahnya disambut gelak ketawa setiap kakitangan yang melihat jenaka spontan kami tadi. Dan ia berlarutan beberapa ketika sehingga habis sudah nafas kami bergembira. Lelah namun alangkah indahnya...!
Baru sahaja ingin aku kenalkan formula baru ciptaan anak tempatan, Prof Dr. Sabri iaitu penasihat produk bagi perniagaan kesihatanku. Perfect Memory dikhabarkan sesuai untuk pesakit buah pinggang sepertinya. Ingin kulihat dia bertenaga kembali dan sihat seperti biasa, ketika hari-hari awalnya menggunakan PerfectSlim. "Kaki Akak terasa ringan Zul." Saat itu terasa gembiranya aku walaupun sekelumit sahaja kesannya pada Allahyarhamah. Lantas dia mendaftar sebagai ahli dan menjadi pengguna; dengan bersyarat yang acap kali ku pesan, jangan dipakai kerap kerana tubuhnya amat kekurangan air.
Namun semua itu hanya kenangan. Pemergiannya yang tidak disangka-sangka setelah salah seorang kakitangan seliaanku pergi beberapa bulan sebelum ini. Mendiang Miss Rosaline Ong Bee Suan telah meninggalkan kami lebih awal akibat barah payudara yang dikhabarkan amat kritikal. Namun kematiannya adalah berpunca daripada terjatuh dan terhantuk ketika mahu menjalani pemeriksaan susulan di hospital. Alangkah besar kuasa-Mu Ya Allah..!
Allahyarhamah juga begitu. Dikhabarkan Allahyarhamah pergi dengan penyakit paru-paru basah walhal setiap minggu Allahyarhamah ke hospital untuk menjalani rawatan dialisis bagi mencuci buah pinggangnya. Walau nampak keperitan pada wajahnya, Allahyarhamah tetap bersemangat!
Aku sedaya upaya tidak akan melihat berita melalui kaca televisyen atau mendengar pengumuman melalui corong radio akan berita kematiannya.. Hari ini kami semua cuba berlagak ceria walaupun ada segarit duka yang sedang mencalar kenangan berharga bersama Allahyarhamah. Dan kini aku sedaya upaya cuba menerima hakikat pemergian insan yang berhati waja ini...
Al-Fatihah
Noktah...
No comments:
Post a Comment