Tinggalkan segala duka di jiwa. Bak kata orang, "Life must goes on." Yang lepas biarkan dengan redha. Harapan yang belum tiba jawapan lagi. Yang penting lepaskan pada-Nya dengan tawakal yang penuh di jiwa. Insya-Allah kebaikan menanti..
Tajuk yang menarik sekali untuk diperbincangkan. NaZ terdetik untuk menulis apabila menonton sebuah rancangan adiwira ataupun superhero di kaca televisyen beberapa hari yang lalu. Kisah adiwira berkuasa "besar" menyelamatkan orang ramai daripada gangguan musuh jahat yang ingin memporak-perandakan masyarakat (walaupun fokus hanya kepada menarik dan memikat perhatian perempuan sahaja iaitu heroin bagi rancangan terbabit)
Apa yang menarik untuk NaZ perkatakan pada hari ini bukannya berkaitan dengan kisah adiwira "pelik" ini (mengapa pelik akan NaZ jelaskan seketika nanti) tetapi sedikit imbasan topik yang agak relatif dengan situasi semasa dan terkini. Maksud NaZ ialah bagaimana agaknya dialog rutin setiap lelaki yang ingin memikat hati gadis idamannya.
Kata lelaki seakan berjanji, " Saya mahu sehidup semati dengan awak. Saya akan menjadi pelindung awak. Saya ada martial art. Saya sedia melindungi awak dan memastikan awak sentiasa selamat ketika bersama saya"
Gadis yang biasa-biasa akan menguntumkan senyuman berbunga dan membalas kembali kata-kata janji setia dengan kata-kata manis juga. Namun bagi gadis yang hidup mata hatinya akan menjawab ringkas (dalam bahasa NaZ) dan padat seperti "Persetankan! Mengarut punya lelaki!" dan sebagainya yang menggambarkan rasa kurang percaya.
Memang benar lelaki adalah pelindung wanita. Kisah Nabi Adam a.s. bahawa Hawa dijadikan daripada tulang rusuk sebelah kiri Adam. Umum sudah maklum dan mengetahuinya.. Namun agak tidak bertepatan jika dikatakan bahawa lelaki sahajalah yang menjadi pelindung bagi wanita. Ini menggambarkan seolah-olah wanita hanya bergantung kepada lelaki dan tidak boleh berdiri dengan sendiri serta tidak boleh menjaga diri sendiri. Sempitnya pemikiran!
Walhal (terutama lelaki-lelaki yang pernah mengucapkan kata-kata di atas) kita sendiri sebagai lelaki dan anak kandung kepada ibu kita dilindungi selama sembilan bulan pada beberapa lapisan dalam perut ibu kita. Tidakkah itu dinamakan perlindungan. Perbesarkanlah peranan wanita wahai lelaki.. Janganlah dipersempitkan kotak pemikiran kita atas dasar "kekuatan dan kegagahan manusia boleh melindungi"; sedangkan orang yang kuat ialah orang yang dapat menahan sabar. Ia tidak sekali-kali diukur oleh kekuatan fizikal ataupun tubuh badan. Melalui terjahan ataupun tumbukan. Apatah lagi melalui pantasnya kilas dan tangkis seni pertahanan diri. Luaskanlah maknanya...
Wanita yang dinaikkan taraf sebagai suri hidup lelaki ataupun ayat mudahnya isteri bagi suaminya juga melindungi suaminya. Isteri bertanggungjawab melindungi suaminya daripada zina dan dosa zina. Sebab itulah diwajibkan seseorang isteri itu berhias-hias ketika berhadapan suaminya, agar suami tidak "makan luar". Peri pentingnya peranan isteri juga ketika suami dalam keadaan tertekan, menunjukkan jalan keluar ketika suami dihimpit masalah dan kemurungan. Melindungi lelaki ketika mereka dalam keadaan seperti yang NaZ sebutkan tadi. Betapa besarnya peranan wanita dalam melindungi lelaki.... Anda setuju?
Tentang "adiwira pelik" tadi. Ingin NaZ terokai kelebihannya. Adiwira ini boleh terbang, berkuasa tinggi dengan mengangkat benda-benda berat dengan mudah, boleh mencairkan besi menggunakan pancaran cahaya daripada matanya,; pendek kata semuanya adalah perkara yang mencarik adat. Namun peliknya di sebalik kekuatannya ini, kekurangannya adalah dia terpaksa berselindung di sebalik cermin mata tebal dan liuk rambut insan lurus. Dan yang amat menjengkelkan sekali dia terpaksa mengenakan seluar dalamnya dengan cara yang amat pelik! Inilah bahana orang yang ingin sangat menjadi wira....
Apa yang penting sekarang ini ialah kita sama-sama tahu peranan masing-masing. Tak perlu untuk lelaki melangkaui peranan yang Allah dah tetapkan bagi perempuan dan begitulah sebaliknya. Jalankan peranan yang telah diamanahkan di samping mengejar kejayaan dengan tabah dan sabar.
NaZ tinggalkan dengan nukilan madah fikir sendiri yang tidak seberapa ini...
"Ikhlas itu umpama air di sungai yang jernih. Diraup sepenuh tangan. Ia mensucikan wajah dan anggota. Namun titis lebihnya mengalir kembali tanpa kita mahu tahu yang mana ia dan ke mana ia"
Share
No comments:
Post a Comment