Thursday, April 22, 2010

PERIHAL DESTINASI..


Ide menulis ada di mana-mana..! NaZ terdetik pagi tadi untuk menulis tentang "perjalanan" ketika menunggang Yamaha 135LC kesayangan ke tempat kerja pagi tadi. Perjalanan "disejukkan" dengan hujan lebat mencurah-curah dan diingatkan dengan motto 'biar lambat asal sampai'. Terbukti NaZ lewat tiba hari ini atas pelbagai "alasan"; (manusia memang hebat dalam mencipta alasan) salah satunya adalah laluan bypass Kuching-Samarahan masih dalam proses pembinaan semula serta "baik pulih" yang amat memakan masa dan menguji kesabaran pengguna.

Di kala sedang teliti mengelak lecak-lecak di laluan yang tidak rata tiba-tiba hati kecil NaZ terdetik, "Aku nak ke mana ni sebenarnya? Kerja? Mana destinasi sebenar yang harus ku tuju? Setiap hari dengan rutin sebegini tanpa ada pengajaran darinya" Terkesima hati besar ini, tertunduk dengan rintihan hati kecil. Tiada langsung peluang hati besar ini berbicara untuk mencari alas kata. Tewas dengan kata bernas si kecil. Benar sekali, yang kecil jangan disangka tidak punyai apa-apa. Napoleon, pemimpin politik dan perang Perancis yang bertubuh kecil itupun mampu menggegarkan seketika dunia. Namanya juga disebut sehingga kini.

Berbalik kepada perihal perjalanan tadi. Di saat NaZ mengelak lopak-lopak jalanan. Terkesima akal sebentar memikirkan perjalanan 'sebenar' yang harus ditempuhi. Perjalanan dari dunia ke akhirat. Tamsilan NaZ mudah sahaja. Yang baru NaZ tinggalkan tadi adalah dunia dan destinasi tujuan NaZ ialah akhirat. Lopak-lopak jalanan tadi adalah cabaran dan dugaan yang harus NaZ tempuhi.

Tiba-tiba kereta di hadapan NaZ berhenti mengejut! NaZ membrek serentak tangan dan kaki. Terseret seketika roda belakang dan mengeluarkan bunyi namun kaki NaZ dapat mengimbanginya. "Ah..! Brek ini seumpama..." hati NaZ berdetik. Menahan diri daripada kecelakaan yang lebih besar dan kemudaratan yang lebih serius. Tersasar sedikit dari jalan yang luas terbentang di hadapan namun tidak lupa akan tujuan hakiki. Menuju ke tempat kerja :)

"Jalan menuju keredhaan Allah terbentang luas di hadapan. Cuma kita sahaja yang tidak perasan akan luasnya. Sebab perspektif kita sempit" teringat kesimpulan bacaan NaZ pada sebuah buku beberapa hari lalu. "Ini pun boleh dikaitkan ke?"

"Selagi mana 'roda' berada di atas jalan, selagi itulah kita tak akan tergelincir" putar ligat akal NaZ mencari ide. Setetapnya kita pada 'pendirian' yang teguh, takkan berganjaklah kita daripada tujuan asal. NaZ cuba mengimbangi badan, ke kanan ke kiri menyelit di celahan kereta yang terbukti dipandu dengan 'amat' cermat di sini.

"Hidup kita mesti seimbang. Duniawi dan akhrawi" tersimpul kukuh lagi atas kuliah maghrib Tuan Guru yang NaZ dengar beberapa hari yang lalu ketika berkursus di Semenanjung. Kadang-kadang kaki NaZ menongkat ke kanan dan kadang-kadang menongkat ke kiri. Kalaulah tersadung dan hilang imbangan... Tapi kalaulah seimbang... :)

"Priiiiitttt....!" anggota polis trafik mengangkat tangan. Menandakan isyarat berhenti pada laluan NaZ. Dengan 'brek' NaZ menghentikan motosikal dan menongkat dengan kaki 'kanan'. Kadang-kadang beralih ke kaki 'kiri'. "Inilah 'peraturan' yang kena 'kami' ikut. Jikalau dilanggar peraturan ini musibahlah yang akan menimpa.. Hmmmm.."

Sedar tak sedar NaZ tiba ke tempat kerja. Alhamdulillah dapat satu buah fikir baru untuk dikongsikan bersama. Hanya berfikir. Elaborasi NaZ serahkan kepada anda semua... :P

Jauh lagi rupanya untuk layak berada dalam golongan Ulul-Albab

NaZ sakit kepala :)

Share

No comments:

Post a Comment