Tuesday, August 31, 2010

ANTARA BELUNCAS DAN KITA



Ulat beluncas; dalam Kamus Dewan Edisi Empat menyatakan beluncas bermaksud larva rama-rama atau kupu-kupu; ulat bulu. 
Wah..! Sebut sahaja nama ulat bulu pasti ada 'bulu' yang meremang. Bukannya apa, risau bulu-bulu pada 'ibu' serangga cantik ini melekat pada kulit dan mendatangkan kerengsaan pada tubuh kita. Ber'tonyoh'lah lagi kulit yang gatal itu pada rambut kita sebagai petua orang tua-tua dahulu sebagai cara menghilangkan kegatalan akibat iritasi bulu ulat beluncas ini. Lagipun ada antaranya yang mempunyai rupa yang agak 'hodoh' adalah amat menakutkan apabila dipandang pada jarak yang dekat. Menggerunkan bukan...?


Tambahan pula sekiranya kita mempunyai tanam-tanaman yang subur mekar menghijau daunnya. Awaslah kerana beluncas ini amat gemarkan dedaunan hijau segar untuk dijadikan santapan. Akibatnya tumbesaran tanaman terganggu kerana habis sepokok tanaman hilang seri dan tenaga kerana gagal menjalankan proses fotosintesisnya. Seleranya tidak berhenti-henti, selagi ada daun hijau selagi itulah dimamah dan dikunyahnya sehingga dirinya dihapuskan atau dialih (seperti yang dilakukan kami sewaktu kecil dahulu)
Namun, seperkara dua iktibar yang dapat kita perhatikan pada makhluk ALLAH ini. Dalam sifatnya yang boleh dikatakan 'buruk' itu boleh juga ia berubah menjadi sifat yang terpuji dan dipandang rupanya sebagai mulia. Bagaimana agaknya..?

Beluncas ini melaksanakan proses transformasi dalam dirinya. Macam mana tu? Jika dperhatikan dalam kitaran hidup beluncas ini; proses metamorfosis yang lengkap yang merangkumi empat peringkat bermula daripada telur (embrio) yang ditetaskan oleh rama-rama (atau kupu-kupu) yang lain, ia berkembang menjadi ulat beluncas (larva). Setelah itu ia menjadi kepompong (pupa) dan dipendekkan masa dan cerita ia akan berubah menjadi seekor rama-rama yang cukup menawan setiap mata yang memandang.




Proses transformasi ini hanya melibatkan proses pertukaran dari keadaan ulat beluncas yang menggelikan kepada keindahan rama-rama yang mengasyikkan (walaupun tidak pada rupanya).Apakah catalyst atau pemangkinnya? Bagaimana mungkin satu benda yang 'hodoh' dan menggelikan ini boleh berubah menjadi makhluk yang menawan sanubari?

Prosesnya yang paling penting dan utama sebagai agen perubahan ketara ini adalah pada peringkat kepompong. Peringkat inilah yang sebenarnya menguji kesabaran si beluncas. Manakan tidak; sudah ditakdirkan berkurung, tanpa makanan dan dikelililngi oleh perisai yang kukuh yang tidak dapat ditembusi dari dalam ataupun luar (mengikut kekuatan setara), beluncas mampu juga hidup dalam keadaan yang kurang kita mengerti sifatnya dan apabila cukup masa dan ketika; memecahkan dinding tembok penghalang dengan kekuatan tersimpan untuk mendepani hari mendatang dengan yakin atas perubahan; sebagai seekor rama-rama yang terbilang anggunnya.

Alangkah indahnya dan bagus sekiranya kita dapat mengadaptasi proses perubahan seperti di atas. Contoh yang paling hampir adalah kehidupan kita. Paling mudah makan.. Kita tak henti-henti makan, makan sikit-sikit, sikit-sikit makan. Sebelas bulan kita memenuhkan tembolok kita dengan segalanya dari waktu pagi sehingga tengah malam. 

Awal pagi sebelum memulakan hari makan (paling kurang ada yang minum), jam 10 pagi pula makan (ada yang minum ringan), tengahari makan (yang ini pastinya berat), petang makan lagi (walaupun minum petang tetapi pastinya dilengkapi dengan hidangan kuih), malam makan lagi (berat jugalah), sebelum tidur ada juga yang makan (supper lah tu) dan ada yang makan apabila terjaga di tengah malam (biasanya peti ais yang menjadi tumpuan).

Itu baru makan, belum lagi dikira dengan tidur, bercakap yang sia-sia, maksiat pancaindera dan macam-macam lagi aktiviti pengurangan pahala yang kita lakukan. Semuanya memberi kesan yang mendalam kerana sebelas bulan yang berlaku semua ini akan memberikan impak dan kesan jangka panjang.

Jadi mana kepompongnya yang menjadi perisai kita? Secara subjektifnya dapatlah dikatakan kepompong kita ini adalah Ramadhan al-Mubarak yang sedang kita lalui sekarang. Apakan tidak, segala kelebihan telah diberikan; penggandaan pahala berlipat kali ganda serta ruang pengampunan yang meluas memungkinkan pertahanan diri kita akan menjadi kuat sekukuh kepompong itu tadi. banyak lagi kelabihan yang kita sendiri sedia maklum, cuma merebutnya ataupun tidak itulah yang menjadi persoalannya kini. Kepompong yang mengawal kita dari tergelincir dan melakukan kesilapan demi kesilapan yang menyebabkan 'rupa' kita apabila keluar nanti ada sedikit cacat celanya.

Sekukuh kepompong kita bertambah kuatlah kita untuk keluar darinya. Menjadikan kita lebih tabah, tegap dan berani mendepani cabaran. berkat Ramadhan al-Mubarak ini insya ALLAH berseri-serilah kehidupan kita bak cantiknya sang rerama yang matang dan keluar dari kepompong yang mengawalnya.

Masih ada masa lagi, berkat 10 malam terakhir (walaupun tinggal beberapa malam sahaja lagi) pembebasan daripada api neraka dan malam yang lebih baik daripada seribu bulan memungkinkan kepompong amalan kita menjadi perisai ampuh mendepani cabaran 11 bulan mendatang.. Amin Ya Rabbal Alamin..


Tangan yang melarikan jemarinya ini terlebih dahulu membaca dengan matanya apa yang dititipkan dari ilham sementara ini. Kuatkan diri hamba-Mu ya Allah..
Share