Saturday, April 24, 2010

WELCOME


Welcome dalam bahasa Inggeris. Dalam bahasa Melayunya Selamat Datang. Bahasa Arab pula Ahlan Wasahlan. Namun bukan berkaitan bahasa yang NaZ ingin ceritakan di sini tetapi kisah yang mencuit hati dan juga perasaan NaZ. Yang memberikan pengajaran sedetik di hati NaZ.


Kisah berkaitan filem Hindustan yang NaZ tonton kelmarin. Sekali lagi NaZ tekankan NaZ bukan peminat 'fanatik' filem Hindustan, namun NaZ tertarik dengan elemen-elemen yang diketengahkan terutama sekali yang berkaitan dengan kekeluargaan. Dan inilah kali kedua NaZ mengadaptasikan filem Hindustan dalam bentuk penulisan. Bukannya apa sekadar terdetik di fikiran :P

Kisah kali ini berkaitan dengan seorang pemuda yang 'baik' bernama Rajiv (lakonan Akshay Kumar). Rajiv mempunyai seorang bapa saudara yang bergelar doktor perubatan, Dr. Gungrhoo. Dr. Gungrhoo ini amat merisaukan nasib anak saudaranya Rajiv kerana masih belum berkahwin waima mempunyai teman istimewa. Sedaya upayanya diusahakan keluarga dan gadis yang 'baik' untuk dijodohkan dengan Rajiv.

Maka bertemulah Dr. Gungrhoo secara tidak sengaja (walaupun disengajakan oleh Majnu Bhai , seorang penjahat lakonan Anil Kapoor) dengan abangnya, Nana Patekar (lupa pula wataknya dalam filem ini) seorang penjahat juga tetapi pandai memainkan pelbagai watak walaupun sebagai orang yang berbudi bahasa. Pertemuan ini membawakan persetujuan pertunangan antara Rajiv dengan Katrina Kaif (hilang lagi nama wataknya dalam filem ini), adik Nana Patekar tanpa pengetahuan mereka berdua.

Sedangan Rajiv dan heroin telah berkenalan terlebih dahulu melalui satu insiden kebakaran pada permulaan cerita dan Rajiv mulai saat itu sering terigau akan wanita terbabit. Dan secara tidak sengaja pula mereka telah dipertemukan oleh bapa saudara Rajiv tanpa mengetahui Sanjana (baru ingat) adalah adik kepada Nana Patekar.

Sementelahan mengetahui identiti sebenar penjahat berdua itu, Dr. Gungrhoo telah melakukan pelbagai helah. Niatnya cuma satu tidak mahu anak saudaranya Rajiv dijodohkan dengan keluarga penjenayah (berdasarkan kisah silamnya yang pedih). namun jika ada JODOH tidak ke mana, setiap helah Dr. Gungrhoo gagal dan Rajiv-Sanjana termetri ikatan mereka sebagai suami isteri. Hebatnya kuasa JODOH..

Itu yang pertama. Keduanya sebelum terpateri ikatan mereka berdua ini, Nana Patekar (masih belum terpanggil nama wataknya) dan Majnu Bhai adalah penjenayah dan penjahat yang sering membuat kacau-bilau. Skrip filem ini mengkehendaki Rajiv mencari inisiatif untuk membawa kedua-dua 'abangnya' ini ke jalan yang benar kembali. maka berusahalah si Rajiv ini dengan bantuan rakan-rakannya untuk menjayakan hasrat Dr. Gungrhoo ini. Jika tidak, maka tiada restu untuk Rajiv dan Sanjana disatukan sebagai pasangan suami isteri.

Sedikit demi sedikit aktiviti jenayah (yang dibawa dengan penceritaan humor) mereka berdua dapat dikurangkan dan mereka ini kembali menjalani kehidupan berlandaskan undang-undang.

Manusia berubah...

Namun NaZ masih kurus seperti dahulu :P

Share

Thursday, April 22, 2010

PERIHAL DESTINASI..


Ide menulis ada di mana-mana..! NaZ terdetik pagi tadi untuk menulis tentang "perjalanan" ketika menunggang Yamaha 135LC kesayangan ke tempat kerja pagi tadi. Perjalanan "disejukkan" dengan hujan lebat mencurah-curah dan diingatkan dengan motto 'biar lambat asal sampai'. Terbukti NaZ lewat tiba hari ini atas pelbagai "alasan"; (manusia memang hebat dalam mencipta alasan) salah satunya adalah laluan bypass Kuching-Samarahan masih dalam proses pembinaan semula serta "baik pulih" yang amat memakan masa dan menguji kesabaran pengguna.

Di kala sedang teliti mengelak lecak-lecak di laluan yang tidak rata tiba-tiba hati kecil NaZ terdetik, "Aku nak ke mana ni sebenarnya? Kerja? Mana destinasi sebenar yang harus ku tuju? Setiap hari dengan rutin sebegini tanpa ada pengajaran darinya" Terkesima hati besar ini, tertunduk dengan rintihan hati kecil. Tiada langsung peluang hati besar ini berbicara untuk mencari alas kata. Tewas dengan kata bernas si kecil. Benar sekali, yang kecil jangan disangka tidak punyai apa-apa. Napoleon, pemimpin politik dan perang Perancis yang bertubuh kecil itupun mampu menggegarkan seketika dunia. Namanya juga disebut sehingga kini.

Berbalik kepada perihal perjalanan tadi. Di saat NaZ mengelak lopak-lopak jalanan. Terkesima akal sebentar memikirkan perjalanan 'sebenar' yang harus ditempuhi. Perjalanan dari dunia ke akhirat. Tamsilan NaZ mudah sahaja. Yang baru NaZ tinggalkan tadi adalah dunia dan destinasi tujuan NaZ ialah akhirat. Lopak-lopak jalanan tadi adalah cabaran dan dugaan yang harus NaZ tempuhi.

Tiba-tiba kereta di hadapan NaZ berhenti mengejut! NaZ membrek serentak tangan dan kaki. Terseret seketika roda belakang dan mengeluarkan bunyi namun kaki NaZ dapat mengimbanginya. "Ah..! Brek ini seumpama..." hati NaZ berdetik. Menahan diri daripada kecelakaan yang lebih besar dan kemudaratan yang lebih serius. Tersasar sedikit dari jalan yang luas terbentang di hadapan namun tidak lupa akan tujuan hakiki. Menuju ke tempat kerja :)

"Jalan menuju keredhaan Allah terbentang luas di hadapan. Cuma kita sahaja yang tidak perasan akan luasnya. Sebab perspektif kita sempit" teringat kesimpulan bacaan NaZ pada sebuah buku beberapa hari lalu. "Ini pun boleh dikaitkan ke?"

"Selagi mana 'roda' berada di atas jalan, selagi itulah kita tak akan tergelincir" putar ligat akal NaZ mencari ide. Setetapnya kita pada 'pendirian' yang teguh, takkan berganjaklah kita daripada tujuan asal. NaZ cuba mengimbangi badan, ke kanan ke kiri menyelit di celahan kereta yang terbukti dipandu dengan 'amat' cermat di sini.

"Hidup kita mesti seimbang. Duniawi dan akhrawi" tersimpul kukuh lagi atas kuliah maghrib Tuan Guru yang NaZ dengar beberapa hari yang lalu ketika berkursus di Semenanjung. Kadang-kadang kaki NaZ menongkat ke kanan dan kadang-kadang menongkat ke kiri. Kalaulah tersadung dan hilang imbangan... Tapi kalaulah seimbang... :)

"Priiiiitttt....!" anggota polis trafik mengangkat tangan. Menandakan isyarat berhenti pada laluan NaZ. Dengan 'brek' NaZ menghentikan motosikal dan menongkat dengan kaki 'kanan'. Kadang-kadang beralih ke kaki 'kiri'. "Inilah 'peraturan' yang kena 'kami' ikut. Jikalau dilanggar peraturan ini musibahlah yang akan menimpa.. Hmmmm.."

Sedar tak sedar NaZ tiba ke tempat kerja. Alhamdulillah dapat satu buah fikir baru untuk dikongsikan bersama. Hanya berfikir. Elaborasi NaZ serahkan kepada anda semua... :P

Jauh lagi rupanya untuk layak berada dalam golongan Ulul-Albab

NaZ sakit kepala :)

Share

Wednesday, April 21, 2010

TOPI KELEDAR, TUDUNG KEPALA DAN ANALOGINYA...


Memetik bait-bait daripada buku "Nota Hati Seorang Lelaki" nukilan Pahrol Mohd. Juoi; antara yang menarik...

"Pakai tudung ni macam pakai topi keledar"

"Topi keledar menjaga keselamatan nyawa, tudung menjaga keselamatan akhlak"

Mungkin ulasan NaZ kali ini senada dengan isi buku terbabit namun ada sedikit pertambahan yang ingin NaZ kongsikan bersama. Ulasan lanjut boleh diikuti dalam buku yang NaZ maksudkan tadi. Cuma nak ditekankan bahawa kedua-dua item di atas sama penting. Menjaga keselamatan fungsinya. Satu menjaga keselamatan nyawa dan satu lagi menjaga keselamatan "AKHLAK"

Namun ada yang memakai topi keledar juga terbabas ketika menunggang motosikal kerana terlalu mengikut perasaan, tidak mengikuti peraturan dan menunggang secara marabahaya tanpa mengira untung rugi masa hadapannya.

Ada juga yang tidak memakai topi keledar namun tidak langsung terlibat dalam kemalangan. Mereka ini menunggang dengan tertib dan cermat; penuh perhatian dan peka dengan keadaan sekeliling. Namun silap BESAR mereka adalah tidak memakai topi keledar!

Ada yang telah cukup kelengkapan. Topi keledar mengikut piawaian yang ditetapkan. Namun terbabas juga dek kelalaian pemandu yang lain. Dirempuhnya trak pikap yang besar; pemandu mabuk waima penyangak jalanan dan apa sahaja gejala yang negatif di jalan raya. Anggaplah itu sebagai satu ujian. Kita telah sedaya upaya mengikut dan mematuhi peraturan namun tetap mengundang juga kemalangan dek kecuaian orang lain. Usah bimbang; mahkamah tetap ada untuk membuat perhitungan!

NaZ Mat Rempit dengan Yamaha LC135 kesayangan :P

Share

Tuesday, April 13, 2010

PELINDUNG YANG DILINDUNGI


Tinggalkan segala duka di jiwa. Bak kata orang, "Life must goes on." Yang lepas biarkan dengan redha. Harapan yang belum tiba jawapan lagi. Yang penting lepaskan pada-Nya dengan tawakal yang penuh di jiwa. Insya-Allah kebaikan menanti..

Tajuk yang menarik sekali untuk diperbincangkan. NaZ terdetik untuk menulis apabila menonton sebuah rancangan adiwira ataupun superhero di kaca televisyen beberapa hari yang lalu. Kisah adiwira berkuasa "besar" menyelamatkan orang ramai daripada gangguan musuh jahat yang ingin memporak-perandakan masyarakat (walaupun fokus hanya kepada menarik dan memikat perhatian perempuan sahaja iaitu heroin bagi rancangan terbabit)


Apa yang menarik untuk NaZ perkatakan pada hari ini bukannya berkaitan dengan kisah adiwira "pelik" ini (mengapa pelik akan NaZ jelaskan seketika nanti) tetapi sedikit imbasan topik yang agak relatif dengan situasi semasa dan terkini. Maksud NaZ ialah bagaimana agaknya dialog rutin setiap lelaki yang ingin memikat hati gadis idamannya.

Kata lelaki seakan berjanji, " Saya mahu sehidup semati dengan awak. Saya akan menjadi pelindung awak. Saya ada martial art. Saya sedia melindungi awak dan memastikan awak sentiasa selamat ketika bersama saya"

Gadis yang biasa-biasa akan menguntumkan senyuman berbunga dan membalas kembali kata-kata janji setia dengan kata-kata manis juga. Namun bagi gadis yang hidup mata hatinya akan menjawab ringkas (dalam bahasa NaZ) dan padat seperti "Persetankan! Mengarut punya lelaki!" dan sebagainya yang menggambarkan rasa kurang percaya.

Memang benar lelaki adalah pelindung wanita. Kisah Nabi Adam a.s. bahawa Hawa dijadikan daripada tulang rusuk sebelah kiri Adam. Umum sudah maklum dan mengetahuinya.. Namun agak tidak bertepatan jika dikatakan bahawa lelaki sahajalah yang menjadi pelindung bagi wanita. Ini menggambarkan seolah-olah wanita hanya bergantung kepada lelaki dan tidak boleh berdiri dengan sendiri serta tidak boleh menjaga diri sendiri. Sempitnya pemikiran!

Walhal (terutama lelaki-lelaki yang pernah mengucapkan kata-kata di atas) kita sendiri sebagai lelaki dan anak kandung kepada ibu kita dilindungi selama sembilan bulan pada beberapa lapisan dalam perut ibu kita. Tidakkah itu dinamakan perlindungan. Perbesarkanlah peranan wanita wahai lelaki.. Janganlah dipersempitkan kotak pemikiran kita atas dasar "kekuatan dan kegagahan manusia boleh melindungi"; sedangkan orang yang kuat ialah orang yang dapat menahan sabar. Ia tidak sekali-kali diukur oleh kekuatan fizikal ataupun tubuh badan. Melalui terjahan ataupun tumbukan. Apatah lagi melalui pantasnya kilas dan tangkis seni pertahanan diri. Luaskanlah maknanya...

Wanita yang dinaikkan taraf sebagai suri hidup lelaki ataupun ayat mudahnya isteri bagi suaminya juga melindungi suaminya. Isteri bertanggungjawab melindungi suaminya daripada zina dan dosa zina. Sebab itulah diwajibkan seseorang isteri itu berhias-hias ketika berhadapan suaminya, agar suami tidak "makan luar". Peri pentingnya peranan isteri juga ketika suami dalam keadaan tertekan, menunjukkan jalan keluar ketika suami dihimpit masalah dan kemurungan. Melindungi lelaki ketika mereka dalam keadaan seperti yang NaZ sebutkan tadi. Betapa besarnya peranan wanita dalam melindungi lelaki.... Anda setuju?

Tentang "adiwira pelik" tadi. Ingin NaZ terokai kelebihannya. Adiwira ini boleh terbang, berkuasa tinggi dengan mengangkat benda-benda berat dengan mudah, boleh mencairkan besi menggunakan pancaran cahaya daripada matanya,; pendek kata semuanya adalah perkara yang mencarik adat. Namun peliknya di sebalik kekuatannya ini, kekurangannya adalah dia terpaksa berselindung di sebalik cermin mata tebal dan liuk rambut insan lurus. Dan yang amat menjengkelkan sekali dia terpaksa mengenakan seluar dalamnya dengan cara yang amat pelik! Inilah bahana orang yang ingin sangat menjadi wira....

Apa yang penting sekarang ini ialah kita sama-sama tahu peranan masing-masing. Tak perlu untuk lelaki melangkaui peranan yang Allah dah tetapkan bagi perempuan dan begitulah sebaliknya. Jalankan peranan yang telah diamanahkan di samping mengejar kejayaan dengan tabah dan sabar.

NaZ tinggalkan dengan nukilan madah fikir sendiri yang tidak seberapa ini...

"Ikhlas itu umpama air di sungai yang jernih. Diraup sepenuh tangan. Ia mensucikan wajah dan anggota. Namun titis lebihnya mengalir kembali tanpa kita mahu tahu yang mana ia dan ke mana ia"
Share

Sunday, April 11, 2010

BERKABUNG....


(Tulisan dedikasi khusus untuk kakitangan seliaan, Allahyarhamah Puan Khadijah binti Abdullah; 10 Julai 1957 ~ 11 April 2010. Semoga rohnya dicucuri rahmat)

sayu terpisah
hikayat indah kini hanya tinggal sejarah
berhembus angin rindu
begitu nyamannya terhidu wangian kasihmu
hujan lebat mencurah kini
bagaikan tiada henti
kaulah laguku kau irama terindah
tak lagi kudengari
kau pergi.. pergi..
sepi tanpa kata
terdiam dan kaku tak daya kau kulupa
apa pun kata mereka
biarkan kenangan berbunga di ranting usia


Hari ini masih terasa lagi dia di tepi pintu bilikku. Kehadirannya ke pejabat walaupun dengan derap langkah yang perlahan dan berhati-hati namun penuh terisi dengan semangat juang yang tinggi. Kesetiaannya hadir bertugas saban hari walaupun dengan kudrat yang terbatas amat mengagumkan setiap orang. Namun minggu-minggu terakhirnya dipenuhi dengan cuti sakit dan natijahnya dia dijemput pulang tanggal jam 1.15 pagi, 11 April 2010 yang lalu.

Aku amat berasa ralat kerana tidak sempat menziarahi Allahyarhamah ketikanya sakit ataupun sebelum dia dikebumikan. Berkebetulan pada masa itu aku ke Kuala Lumpur atas urusan peribadi. SMS yang kuterima daripada rakan setugas Allahyarhamah (yang juga pegawai di bawah seliaanku) amat mengejutkan. Tidak disangka-sangka dia pergi tanpa memberikan sebarang petanda. Mungkin teman-teman rapatnya menyedari perubahan pada dirinya namun padaku semasa akhir-akhir hari aku bersamanya ku dapati dia jarang sudah mengucapkan "pulai Zul, pulai!" dalam bahasa Iban yang bermaksud balik Zul, balik!

Masih terngiang-ngiang suaranya di hujung cuping telingaku bertanyakan hal ehwal tempat kelahirannya, Kota Samarahan yang mana menjadi tempat kediaman tumpang berteduhku buat sementara ini. Sering ungkapan ini dituturkannya, "Samarahan ujan sik aritok Zul?" Jika tidakpun dia bertanya "Giney Muara Tuang Zul?" Sering kuintai wajahnya dari bucu jenang pintuku, melihatnya berehat melepaskan lelah dan derita pada tubuhnya. Tak mengapa padaku, kegigihannya untuk menghadirkan diri sudah cukup bererti bagi kami semua. Namun kehilangannya tetap terasa walaupun kami berupaya tersenyum hambar cuma ketika ini.

Terbayang gelagatnya bersamaku beberapa bulan lalu. "Kak teringin nak makan dodol Zul." Walaupun kedengaran nada gurauannya namun itu tetap kupandang sebagai hajat. Mujur ketika itu bulan puasa dan aku akan berangkat pulang ke kampung beberapa ketika. Lantas aku pesan pada Ibunda agar mencari dodol yang paling popular di sekitar pekan rumahku. Alhamdulillah berhasil.... Terima kasih Ibunda....

Jelas wajah terharu terpamer pada riak mukanya. Terkejut dengan ole-ole yang langsung tidak disangka-sangka itu. Pemberian kami sekeluarga diterima dengan gembira seraya bertanya, ""Ini kira berapa Zul?". Aku sekadar membalas sambil tersenyum, "Ish..tak payahlah Kak, sekali-sekala"

Pernah ulah nakal kami berdua menjadi bahan mencuit hati kakitangan lain. Ketika itu aku ingin memberikan barang (sudah kulupa apa barangnya; mungkin berkaitan dengan borang). Tidak semena-mena ide nakalku beraksi. Aku berlutut di hadapannya sambil menghulurkan kedua-dua belah tanganku sambil berlagak seperti menghulurkan bunga atau barang hadiah kekasih dan mengharap diterima pemberianku. Namun yang agak menghiburkan, dibalasnya dengan dialog yang biasa didengar dan dilihat.. "Nehi... Nehi... Nehi..!". Umpama Lata Mangeshkar menyanyikan lagunya; telatahnya disambut gelak ketawa setiap kakitangan yang melihat jenaka spontan kami tadi. Dan ia berlarutan beberapa ketika sehingga habis sudah nafas kami bergembira. Lelah namun alangkah indahnya...!

Baru sahaja ingin aku kenalkan formula baru ciptaan anak tempatan, Prof Dr. Sabri iaitu penasihat produk bagi perniagaan kesihatanku. Perfect Memory dikhabarkan sesuai untuk pesakit buah pinggang sepertinya. Ingin kulihat dia bertenaga kembali dan sihat seperti biasa, ketika hari-hari awalnya menggunakan PerfectSlim. "Kaki Akak terasa ringan Zul." Saat itu terasa gembiranya aku walaupun sekelumit sahaja kesannya pada Allahyarhamah. Lantas dia mendaftar sebagai ahli dan menjadi pengguna; dengan bersyarat yang acap kali ku pesan, jangan dipakai kerap kerana tubuhnya amat kekurangan air.

Namun semua itu hanya kenangan. Pemergiannya yang tidak disangka-sangka setelah salah seorang kakitangan seliaanku pergi beberapa bulan sebelum ini. Mendiang Miss Rosaline Ong Bee Suan telah meninggalkan kami lebih awal akibat barah payudara yang dikhabarkan amat kritikal. Namun kematiannya adalah berpunca daripada terjatuh dan terhantuk ketika mahu menjalani pemeriksaan susulan di hospital. Alangkah besar kuasa-Mu Ya Allah..!

Allahyarhamah juga begitu. Dikhabarkan Allahyarhamah pergi dengan penyakit paru-paru basah walhal setiap minggu Allahyarhamah ke hospital untuk menjalani rawatan dialisis bagi mencuci buah pinggangnya. Walau nampak keperitan pada wajahnya, Allahyarhamah tetap bersemangat!

Aku sedaya upaya tidak akan melihat berita melalui kaca televisyen atau mendengar pengumuman melalui corong radio akan berita kematiannya.. Hari ini kami semua cuba berlagak ceria walaupun ada segarit duka yang sedang mencalar kenangan berharga bersama Allahyarhamah. Dan kini aku sedaya upaya cuba menerima hakikat pemergian insan yang berhati waja ini...

Al-Fatihah


Noktah...

Share