Tuesday, May 18, 2010

TAK TAHU NAK CORET APA.. HARAPNYA ADA YANG BERGUNA...

saat merenung diri sendiri dan orang lain untuk pengajaran masa hadapan

Terkedu mendengar berita 'bakal' keruntuhan rumahtangga seorang kenalan yang hampir 2 tahun dikenali. Orangnya cukup baik dan peramah, namun di sebalik semua itu tersembunyi kedukaan yang cuba ditutupi dengan senyum tawarnya. Terdetik juga untuk mengetahui apa puncanya; teman-teman mengkhabarkan bahawa rumahtanggganya diganggu oleh 'makhluk' lain iaitu ibu mertuanya sendiri. Nah..! baru beberapa hari lalu disajikan dengan filem popular dan menyayat hati "Ibu Mertuaku" karya Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee ini, satu lagi episod yang sama bakal ditayangkan dalam layar perak realiti kehidupan.

Isterinya dikhabarkan cukup anggun. Menepati ciri-ciri Wanita Melayu Terakhir. Amat sukar dicari keanggunan wanita sebegitu. Ramai yang memuji keindahan paras wajah isterinya. Namun bagi saya kini, keanggunan wajah dan kecantikan rupa fizikal bukanlah segalanya. Terbukti kini bahawa kesetiaan seorang isteri inilah yang akan mempertahankan rumahtangga dan kecekalan seorang suamilah yang menjadi perwira mempertahankan kesucian hubungan yang dibina.

sekadar gambar hiasan

Benar kata orang, "kita jangan memilih, namun kita tetap kena pilih." Bak kata mudahnya 'kena pilih' itulah yang akan menjadi teman sepanjang hayat kita nanti, tidak kira masa susah ataupun senang, masa payah ataupun senggang. Tetap dia berada di sisi kita. Kecantikan itu lahir dari dalam dan terserlah di luar. Bukan diperhati dari luar baru kita hendak menilai yang dalam.

Sekadar orang bujang mentah yang seakan pintar berkata-kata, tidak ada apa buah fikiran bernas yang dapat dikongsikan. Cuma coretan ikhlas (itupun tidak tahu benar tidak) tulus dari hati dan secara spontan dapat digarapkan. Insya ALLAH jika tidak banyak mungkin ada sedikit yang mengerti dan memahami.. :)

Mula serius dalam berkata-kata.....

Share

Sunday, May 9, 2010

SERUAN MURNI....

....hanya untuk mereka yang mengerti

NaZ menggunakan kata ganti nama 'saya' kali ini. Satu penceritaan yang serius dan penuh dedikasi mendalam

Saya rasa terpanggil mengungkapkan ide ini dalam bentuk coretan. Masalah yang melanda kini membuatkan saya tidak dapat 'duduk' diam. Resah rasa yang perlu diluahkan, terus digarap dalam bentuk tulisan agar dia, mereka dan semuanya tahu dan mengerti apa perkara yang bermain di benak saya ketika ini.

Minggu lepas ketika menambah koleksi pengetahuan dalam isu semasa saya (mungkin juga kita semua) dikejutkan dengan berita berkenaan penemuan mayat seorang lelaki berkain pelikat di sebuah tapak pembinaan. Kalau kita tak lain tak bukan mesti berfikiran bahawa bangunan yang bakal siap itu akan dihantui dengan roh lelaki terbabit. Itu yang berkain pelikat, ramai lagi yang ditemui dalam keadaan yang lebih dahsyat, mengerikan dan ada juga yang agak memalukan. Namun bukan itu perkara pokok yang mahu dibincangkan kali ini akan tetapi tentang betapa mudahnya kita sendiri terjebak sebagai mangsa bagi jenayah masa kini.


Bagi sesetengah orang ungkapan ini biasa didengar, "Apa nak kisah? Sudah jadi biasa semua perkara" Saban minggu kita disajikan dengan berita yang walaupun tidak sama namun hampir serupa. Jika tidak ada pembunuhan, ada pecah rumah. Jika tidak kes samun, kisah rogol yang didedah. Segala macam kejahatan terbongkar kini. Paling mengejutkan juga kes seorang murid sekolah rendah dirogol dan sebatang pensel ditinggalkan di dalam kemaluannya. Terasa tak mahu ditulis tetapi apakan daya.. Inilah realitinya....

Tidak mustahil masa-masa yang akan datang kita sendiri akan menjadi mangsa kerakusan orang lain, tempat melepaskan geram serta menjadi medan melampiaskan nafsu 'tidak terdidik' mereka ini. Apa tindakan kita ketika itu? Menjerit meminta pertolongan? Lari dari 'masalah' sedangkan maruah tercabar di hadapan mata? Sekarang ini adalah medan orang memerhatikan sahaja. Tidak berani bertindak membantu malahan jika diri tercabar sekalipun dibuatnya tidak tahu.. Segelintir sahaja yang tidak begitu.

Sedangkan kita tahu maruah (bukan sahaja kehormatan tetapi harta benda, keluarga dan masyarakat boleh dilingkungkan dalam sfera maruah juga) adalah sesuatu yang amat berharga dan perlu dipertahankan. Menjadi satu kewajipan bagi kita untuk memelihara maruah kita agar tidak dijatuhkan atau diaibkan oleh orang lain. Besar buruk akibatnya jika kita membiarkan sahaja maruah dicalari oleh orang lain. Dikatakan kita tiada kebanggaan atas diri sendiri dan tiada tanggungjawab untuk mempertahankan maruah kita. Ungkapan paling mudah... Penakut!

Cara paling mudah untuk mempertahankan maruah kita.. bawa senjata ke mana-mana sahaja; tempat kerja, berjoggging serta lapangan terbang sekalipun. Bawalah pisau, pedang dan senjata tajam yang lainnya. Andai diganggu hunuskan sahaja dan ajar mereka semua. Belum sempat dihunus kita akan dibawa ke balai polis untuk disoal-siasat atas dakwaan membawa senjata merbahaya. Kan menyusahkan diri tu..


Jikalau tidak pun bawalah 'serbuk penyembur lada' sentiasa bersama kita. Andai ada gangguan sembur sahaja di mata mereka yang mengganggu. Biar meraung kepedihan dan kesakitan. Andai tertinggal serbuk di rumah ataupun kehilangan beg tangan yang membawa serbuk terbabit...? Kita jawablah sendiri...

Saya mahu sarankan cara paling mudah dan efisien. Alat ini dijamin tidak tertinggal di mana-mana serta tidak akan didakwa atas macam-macam tuduhan salah. Cukup mudah dan praktikal. Terbukti melindungi. Caranya... belajarlah SENI MEMPERTAHANKAN DIRI.

Tidak kira apa jenis senibeladiri, saya menyarankan kita semua membuka sedikit ruang di hati untuk menjenguk seketika dalam ruang lingkup senibeladiri. Tolak seketika unsur-unsur mistik yang ada di dalamnya dan cuba gali ciri-ciri positif yang terkandung di dasarnya. Keupayaannya dalam 'menjaga' keselamatan diri adalah salah satu yang utama selain mendisiplinkan diri pengamal (ini bergantung juga kepada jenis senibeladiri dan 'pembawaannya').


Ingin saya menyarankan kepada semua agar menyertai mana-mana senibeladiri. Sudah menjadi keperluan sekarang ini untuk kita menghindarkan diri kita yang 'suci' ini daripada terjerumus dalam kebejatan akhlak dan (tidak terlalu berat untuk saya katakan) keruntuhan tamadun manusia kini. Berikan diri anda sedikit peluang dan ruang untuk mengelakkan perkara ini berlaku kepada diri anda.

Share