Sunday, July 19, 2009

TA. WAU. HA. NUN. atau HA. NUN. TA. WAU.

Hmmm...tajuk yang agak berat tapi NaZ nak hurai dengan cara yang santai. Berkaitan dengan kehidupan kita juga. Perlu kefahaman yang mendalam sekiranya nak hurai dengan panjang lebar. Namun apa yang nak ditekankan oleh NaZ di sini adalah tentang perasaan kita terhadap dua perkara berbeza ini.

Ada yang bercampur baur. Yang mana patut aku IKUT dan TAKUT. Yang mana patut aku PATUH dan TUNDUK. namun sains kini dengan ilmu yang dikaji dan dikaji banyak membongkarkan rahsia. Apa perlu kita takut pada makhluk, baca artikel ini hantu dari pandangan ahli fizik bagi mereka yang lebih berfikiran logikal. Benda biasa sahaja makhluk itu.

Usah ditakuti sangat kerana level takut kita sama dengan mereka. Jika kita lebih takut mereka akan kurang takut dan akan mengganggu kita. Bagi yang lebih percaya kepada unsur kerohanian baca blog ni. Lihat dengan santai bagaimana penulis blog ini menghuraikan caranya menguruskan makhluk Tuhan itu dan menerangkan mengapa kita tidak perlu gusar sekiranya berhadapan dengan mereka. Mereka pun ada peringkat yang tertentu jugak.

Tapi terdetik juga, mengapa kita perlu gusar padahal makhluk itu ada yang sudah sebati dalam darah kita. Sentiasa menggoda kita, sentiasa bergantungan di celahan rambut-rambut kita malahan ada yang mendatangkan penyakit kronik juga pada kita. Apa yang kita perlu takut? Adakah kerana makhluk itu menampakkan dirinya dan sekaligus kita yang selalu menonton cerita-cerita seram dan angker dari panggung-panggung akan berdiri bulu roma dan berdiri tapak kaki..? (dalam kata lain tumbang pengsan ketakutan)

Baru-baru ni NaZ diberi pesan oleh Guru, ilmu kita dah ada. Tinggi pulak tu.. Amalan kita dah istiqamah.. Berganda-ganda khusyuk kita. Tapi ingat jangan sesekali kita bergantung pada ilmu. Jangan juga kita bergantung pada amalan kita. Takkan ke mana kita. yang penting dan utama kita bergantung pada-Nya, pada Allah sahaja. Hanya Allah yang dapat membantu kita. Jangan jadi syirik (menduakan) dengan menganggap ilmu dan amalan yang membantu kita... Alangkah ruginya hidup kita kelak di Akhirat...
Share

Saturday, July 4, 2009

BAHAGIA..MANA YANG SEBENARNYA?


BAHAGIA... Setuju tak kalau NaZ katakan bahawa bahagia ini adalah sesuatu yang amat subjektif untuk diperbincangkan secara tepat apakah pengertiannya. Setiap orang ada pengertian dan makna yang tersendiri tentang apa itu bahagia pada diri mereka.

Ada yang berpendapat bahagia itu apabila mereka berjaya mendapat pekerjaan setelah lama mencarinya; menganggur sekian lama iaitu tanpa pekerjaan yang tetap dan terjamin. Dan apabila mendapat tawaran pekerjaan yang tetap aduhai syukur tak terkata. Bahagia tak terkira apabila derita tiada pekerjaan ini hilang. Bahagianya...

Ada yang berpendapat bahagia ini datang dari proses pernikahan dan seterusnya perkahwinan. Kalau yang masih membujang dan masih mencari tetapi masih tak berjumpa lagi alangkah rasa sepinya hidup bersendirian. Rasa kosong dan sunyi tanpa siapa di sisi. Tetapi apabila sudah berjumpa pasangan yang sesuai dan dilanjutkan dengan proses pernikahan itu terus membuahkan bibit-bibit bahagia dalam kehidupan. Berbunga-bunga hati dan perasaan kita apabiila menjelang hari yang dinanti. Bahagianya...

Ada yang berakal singkat juga mengatakan bahawa setelah hidup bersendirian kemudian terjumpa pasangan kekasih sudah bahagia. Tidak terfikir lagi untuk menjalinkan ikatan perkahwinan pun bahagia sudah berbunga. Akhirnya jika hubungan cinta terputus di tengah jalan baru tahu bahagia yang dibina sudah terlerai, berkecai. Sengsaranya menanggung derita... Namun sentiasa ingatlah itu bukannya penghujungnya...

Cukup untuk NaZ buat kesimpulan bahawa daripada kisah yang NaZ petik di atas ini bahagia adalah harapan kita. Harapan yang timbul ini natijah daripada rasa tidak pernah bersyukur atas apa yang kita ada. Memang tidak salah untuk menyimpan impian, cita-cita ataupun harapan namun berpada-padalah. Kesimpulannya bahagia daripada kisah di atas ialah KEPUASAN apabila sesuatu impian yang kita idamkan sekian lama tercapai, lebih-lebih lagi dengan susah payah berusaha mencapainya.

Namun hakikatnya, bahagia ini adalah apabila kita senang hati, susah diri ataupun dihimpit masalah dan ditimpa kesusahan; waima kehilangan yang tersayang atau yang tercinta, kita tetap mampu untuk tersenyum (kalau tidakpun tenang; orang sekarang kata cool). Bertenang itulah bahagia, hati tidak rasa terusik (kalau adapun sedikit sahaja) dengan apa-apa cabaran dan halangan yang datang di hadapan.

Bukan senang nak dapat bahagia sebegitu. Terpaksa melalui jalan mujahadah (kesungguhan) dan semai ketabahan dalam diri. Barulah kedamaian (istilah yang tepat) hadir dan menjadikan kita insan yang bahagia sentiasa. Alangkah bagusnya kalau diri dapat jadi sebahagia itu...

ANaZRaz
Share

Monday, June 8, 2009

LAYANG-LAYANG, TALI DAN PEMAINNYA...

(Cetusan Idea Dari Pidato Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Y.B. SENATOR MEJAR JENERAL (B) DATO' JAMIL KHIR BIN BAHAROM )

Terpanggil NaZ untuk mengulas laporan seorang rakan media mengenai pidato Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Y.B. Senator Mejar Jeneral (B) Dato' Jamil Khir bin Baharom mengenai satu perumpamaan yang berkaitan dengan kehidupan ini.

Mafhum (apa yang difahami) daripada laporan mengenai pidato tersebut ialah seperti yang berikut : "Seorang yang bermain layang-layang akan berusaha menerbangkan layang-layangnya setinggi mungkin. Tinggi lagi layang-layang tersebut makin luas lagi pemandangan yang dinikmatinya. Namun persoalan yang menarik sekali ialah, Di mana pemain layang-layang itu? Pemain layang-layang itu masih di tempat yang sama juga. Hanya beralih beberapa langkah sahaja. Namun yang paling penting dan utama, setinggi mana pun layang-layang itu sekiranya sudah putus talinya jatuh juga ke tanah menyembah bumi"

Namun NaZ nak elaborasi sikit atas ulasan di atas. Lanjutkan perbincangan di atas seperti yang jelas dalam hidup kita. Kita umpama layang-layang; yang sedaya upaya ingin mencapai kejayaan setinggi-tingginya. Ingin terbang dengan penuh bergaya dengan kemegahan tercipta. Namun kalau mahu terbang dan berjaya dengan bergaya, kita amat memerlukan sokongan dan dorongan. Sama juga seperti layang-layang amat memerlukan tenaga angin untuk menerbangkannya. Untuk berjaya dengan megah ini kita sebagai manusia juga memerlukan motivasi dan sokongan moral juga ketahanan diri agar dapat bertahan dengan kejayaan.

Untuk terbang dengan bergaya semestinya tali layang-layang memainkan peranan yang amat penting. Liuk-lentoknya dikawal dengan tali malahan tinggi rendah terbangnya tali jugalah yang memainkan peranan. Andai terputus tali ini tiadalah nama kertas yang diikat rapi dengan lidi atau buluh ini sebagai layang-layang. Mudah kata dan cara talilah yang mengawal segala pergerakan kertas nan sekeping ini. Terjemahan dalam kehidupan ini; kita juga perlukan kawalan untuk memastikan kejayaan yang diperolehi dan kehidupan kita ini sentiasa terpandu. Andai tiada panduan ibaratkan sahajalah kita seperti layang-layang terputus talinya. Terbang megah seketika sebelum menyembah bumi ataupun tidak sempat tersangkut di celah-celah ranting pokok. Alangkah kasihannya...

NaZ suka nak mengibaratkan si pemain layang-layang sebagai guru kita. Mahir guru kita makin terbang tinggilah kita. Makin megahlah kita. Tali yang diibaratkan sebagai ilmu ini akan sentiasa terpandu dengan guru yang mursyid dan memastikan layang-layang akan terbang melayang dengan dorongan tenaga angin dan sebagainya. Moralnya, jangan putus hubungan dengan guru-guru yang mendidik kita (dalam erti kata lain amalkan segala ilmu yang diberikan mereka). Hargailah mereka.

BERTUAHNYA kita kalau dapat terbang megah dengan sebenar-benarnya..

NaZ ada kepak...:)
Share

Wednesday, June 3, 2009

Hampir Dirogol (Kisah Benar dari US)


Sebuah kisah benar menarik yang ingin saya kongsikan bersama pembaca. Semoga sedikit sebanyak dapat di ambil ikhtibar dan pengajaran…

Seorang wanita muslim dari Malaysia yang bekerja di US, memakai tudung dan memiliki akhlak yang bagus. Suatu malam perempuan ini dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan yang diambil pula agak tersorok dan tidak banyak orang yang lalu lalang pada masa itu.

Maklum hari sudah lewat. Berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu membuatkan dia agak gelisah dan rasa takut berjalan bersaorangan. Tiba-tiba dia nampak ada seorang lelaki (kulit putih Amerika) bersandar di dinding di tepi lorong itu. Dia sudah mula rasa takut dan tak sedap hati. Apa yang saudari kita ni boleh buat adalah berdoa ke hadrat Allah memohon keselamatan atas dirinya. Dia baca ayat Kursi dengan penuh pengharapan agar Allah membantu dia di saat itu.

Masa dia melepasi lelaki yang bersandar itu, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib baik lelaki itu buat tidak endah dan perempuan ini selamat sampai ke rumahnya.

Keesokkan paginya, saudari ini terbaca dalam akhbar yang seorang perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat lorong yang dia jalan semalam hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut.Muslimah ini yakin benar lelaki kulit putih yang dia lihat semalam adalah perogol itu.

Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan buat aduan. Wanita ni dapat mengenal pasti suspek melalui kawad cam dan selepas siasatan dilakukan, polis dapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang dicari. Tapi perempuan Muslim ini hairan juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia mangsa ketika dia melalui lorong tersebut walhal dia keseorangan di masa tu, tetapi lelaki tadi rogol perempuan yang lalu selepas dia. Muslimah ini nak tahu sangat sebabnya. Jadi dia minta kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat lain).

Dia pun tanya perogol itu

“Why don’t you do anything to me on that night even though you know that I’m alone?”

Perogol tu jawab:

“No, you are not alone. That night I saw two young man walking with you. One on your right side and the other one was by your left side. If you were alone of course you will be my victim.”

Saudari ni rasa amat terkejut bila dengar penjelasan perogol tu. Dia bersyukur ke hadrat Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi yang dia baca malam itu.

MORAL CERITA INI:

Jika kita sebagai hamba-Nya menurut segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya, Dia pastinya akan sentiasa dekat dengan kita dan memelihara kita. Muslimah tadi pertama-tamanya menutup aurat dan memang Muslimah yang menjaga batas-batas yang ditetapkan Islam. (Kalau aurat terbuka malaikat pun malas dekat). Mungkin dua orang lelaki yang menemani wanita itu adalah malaikat yang diutuskan Allah untuk menjaga hamba-Nya yang sentiasa ingat akan diri-Nya.

Ayat Kursi sememangnya adalah ayat pelindung yang mustajab…selalulah amalkannya. Bayangkan anda seorang yang selalu ingkar suruhan Allah, kufur dengan nikmat-Nya, sambil lewa beribadat. Dapatkah anda mendapat pertolongan sebegini dari Allah? Balasan Allah tu boleh datang semasa di dunia lagi. Di akhirat kelak memang pasti kerana itu janji Allah. Jadi, renungkanlah di mana level ‘iman’ kita sekarang ini.

Barang siapa membaca ayat Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga Subuh. Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya
[Dari Abdullah bin ‘Amr r.a.]

Sebuah kisah benar yang sangat sangat menarik pada pandangan saya.semoga anda semua mendapat pengajaran dan ilmu yang bermanfat.sebagai hamba kita seharusnya percaya dengan kemampuan senjata orang mukmin iaitu DOA….semoga kita sentiasa dipelihara Allah dari kejahatan syaitan yang direjam...

sumber http://www.shafril.com/
Share

MATI..BERSEDIAKAH KITA?


NaZ tersentuh hati membaca satu posting rakan setugas berkenaan ajal. Bertajuk Tanda-Tanda Ajal Hampir Tiba, kredit diberikan kepada rakan tersebut. Artikel yang diberi ternyata memberikan keinsafan. Berderau juga darah dan meremang bulu tengkuk ini tatkala membacanya.

Terdetik kisah orang-orang lama berkenaan mati. Ada yang tinggi darjat ilmunya seolah-olah tahu ajalnya makin tiba. Ada orang yang kata hari Selasa kalau asyik terlanggar benda itulah antara tanda-tandanya. NaZ bukan setakat hari Selasa, tiap-tiap hari langgar benda;)..sekadar gurauan sahaja.

Ada yang berubah sikap secara tiba-tiba. Sehinggakan seminggu sebelum dijemput Ilahi seolah-olah dirancang, hanya memakan buah-buahan dan sayur-sayuran sahaja; makanan tanpa berminyak. Mungkin memudahkan proses mandinya kelak. Ada petua orang tua-tua, jika terbit najis gagak tandanya masa sudah sampai. Najis ini berwarna kehitaman dan akan terbit melalui dubur kita seketika selepas kita lahir dan seketika sebelum kita "pergi". Sebagai satu petanda kita hadir ke dunia dan kita pulang ke sana. Wallahualam...

Apabila hampir tiba saatnya...spontan keluar perkataan yang sukar orang mengertikan dari mulut mereka yang tinggi martabat ilmunya.. "Aku nak pi dah..!" Anak cucu yang tak tahu apa dan apa yang kurang lurus bendulnyapun jawab "Tok Wan nak pi mana?" Memang nampak sihat tetapi hakikatnya hanya dia yang tahu dan hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Dijemput Ilahi di pangkuan semua orang yang tersayang... Alangkah manisnya jika mati kita sebegitu...Sempat memberi pesan berguna pada semua..

Itulah secebis kisah yang pernah didengar....

:: Orang Yang Bijak Ialah Orang Yang Sentiasa Mengingati Mati ::
Share

Wednesday, May 27, 2009

MASALAH ATAU CABARAN? SEMUANYA ATAS DIRI KITA..


“Air mata untuk kekasih, untuk sedih dan untuk rasa pedih,
tentu lebih berharga air mata tatkala gembira,
berjaya dan ternama.”

“Hampir semua kegagalan disebabkan tersalah langkah.
Salah langkah bermula daripada tersalah fikir.
Tersalah fikir bermula dari gagal mengenal diri.”

Dr. HM Tuah Iskandar

Terima kasih Saudara Saiful, Jurutera (tak salah rasa kalau NaZ gelarkan anda) Animasi dari Kelantan atas kiriman peringatan ini. Harap berjaya untuk menerbitkan siri animasi yang pernah dicita-citakan dahulu.

Terdetik untuk mengelaborasi tajuk di atas. Bukan peringatan di atas ya.. Anda bloggers yang bijak pandai sudah boleh menelah apa maksud tersirat di sebali kata-kata hikmah tersebut.

Seringkali kita menganggap kesulitan yang kita hadapi sebagai masalah. Tak salah tetapi kurang tepat bagi pandangan peribadi NaZ. Satu masalah itu akan diselesaikan dengan berbagai penyelesaian. Tetapi dengan menganggap kesulitan itu sebagai satu masalah seolah-olah kita telah menjerat diri kita sendiri dalam perangkap yang kita cipta sendiri ; TERLALU MEMIKIRKAN MASALAH. Selepas itu bertambah lagi derita.. HANYUT DALAM MASALAH!

"NaZ pandai cakap.. Dah masalah memanglah masalah. Dah tak boleh ditukar dengan ayat lain dah!" ujar sorang sahabat meningkah.

NaZ kata boleh! Apa kata kita berfikir jauh sedikit di luar kotak pemikiran. Anggap masalah yang berlaku sebagai CABARAN. Secara automatik kita akan rasa tercabar apabila dicabar. Semua manusia normal akan berasa tergugat kesabaran apabila dicabar. Nah...! Seterusnya apabila cabaran mendatang secara auto-mekanik kita akan bertindak untuk menyelesaikannya tanpa terbeban sangat memikirkan puncanya.

Anda ada cara yang lebih mudah? Baik kongsikan daripada berkata belakang tabir..
Share

Thursday, May 14, 2009

KERJA, TUGAS ATAU TANGGUNGJAWAB?

Berat rasanya untuk menghuraikan tajuk ini. Tapi atas dasar ingin berkongsi pendapat dengan anda semua para bloggers digagahi juga. Ada juga rasa tidak layak namun atas pengalaman cetek yang diperolehi saban hari marilah sama-sama kita merenung dan berbincang mengenai tajuk ini.

Kerja dan tugas macam nak sama tetapi tak serupa. NaZ berpendapat kerja lebih santai daripada tugas. Tidak rasa terbeban atas tanggungan dan tidak terasa bebanan. Nak datang datang. Tak nak datang pun tidak berasa mendatangkan apa-apa mudarat pada diri.

Janganlah melatah! Ini sekadar pendapat peribadi NaZ. Anda boleh kongsikan melalui pendapat anda sendiri. Belum tentu pendapat yang NaZ utarakan ini betul dan tepat sekali. Setiap manusia tidak sempurna. Ada kelemahan dan kekurangan.

Tugas pula bagi NaZ lebih menjurus pada komitmen dan kesungguhan. Walau apapun terjadi tetap akan hadir tepat pada masanya untuk menjalankan tugas. Daripada tugas yang komitmen inilah lahirnya tanggungjawab. Kita akan rasa bertanggungjawab (tanggung dan jawab) atas apa perkara yang berlaku. Tidak kisahlah bertanggungjawab pada diri sendiri, keluarga, agama, bangsa dan negara ; semuanya ini akan terbit apabila kita menganggap tugas kita ini adalah satu perkara yang serius. Kita akan menanggung dan menjawab atas amanah yang diberikan sekiranya gagal menjalankan tugas seperti yang diamanahkan.

Pendapat anda?

Jadilah seorang pemimpin untuk mengenal erti tanggungjawab....

ANaZRaZ
Share

Monday, May 11, 2009

GURU, IBU, AYAH DAN KETABAHAN DIRI

GURU, IBU, AYAH DAN KETABAHAN DIRI SERTA SECAWAN TEH

Hari Sabtu yang lalu (09052009), NaZ sambil bersantai tengahari dan menikmati secawan teh tertarik untuk putar (masih istilah TV hitam putih lagi) siaran TV2 untuk memantau rancangan yang akan ke udara.

Kebetulan masa yang sama (jam 1200) ada rancangan Bollywood@2, filem dari Bollywood (sememangnya Hindustanlah). NaZ memang agak kurang layan filem-filem tema cinta tetapi agak tertarik melihat tajuk filem ini; GURU (atau dalam subtitle Melayunya Kisah Guru). Rasa tersentuh juga kerana dalam hidup ini kita tidak akan lepas daripada berguru; belajar maksud NaZ. Harapnya tidaklah sarat dengan motif cinta (seperti stereotaip yang anda biasa saksikan dalam setiap filem Hindustan) tetapi ada elemen kemanusiaan yang ditonjolkan di dalamnya.

Dilihat pada tema yang akan datang dalam seminggu lagi, “Guru Pembina Negara Bangsa” NaZ selaku bekas guru (walaupun “cikgu” tuisyen) amat teruja untuk menanti kesudahan filem ini.

Ada juga elemen keluarga yang boleh juga dihubungkaitkan dengan Hari Ibu 2009 keesokan harinya (10052009). Walaupun tidak ditampilkan dengan menonjol tetapi elemen tersebut tetap dapat dikesan.

Apa yang ingin NaZ kongsikan dalam post kali ini bukannya cerita ini tetapi apa yang tersirat dalam cerita ini. Kalau berkongsi cerita ini lebih baik anda ke kedai CD dan beli sahaja VCD yang ada tajuk GURU ini. Tak habis kalau nak diceritakan semuanya. Cuma yang penting adalah moral yang ditonjolkan.

GURU / AYAH

Keseluruhan cerita ini adalah guru bagi NaZ. Yang memberikan pengajaran untuk kita perhalusi dan amati. Cerita ini mengisahkan (secara ringkas) mengenai seorang anak muda bernama Guru Kant Desai (watak dewasa dibawa Abisheek Bachan) yang berada di pedalaman India yang bertuah sejak kecil lagi. Guru (panggilan dalam filem ini) berhijrah ke Turki untuk mencari pengalaman dan bekerja di sebagai budak pengangkat minyak petrol (kurang pasti pula untuk kegunaan apa pula). Berkat ketekunannya dia memperolehi kenaikan pangkat yang begitu cepat sehingga ke pangkat penyelia tempatnya bekerja. Namun atas dasar ingin sangat berniaga, berbekalkan wang simpanannya, Gurubhai (Abang Guru) pulang ke India untuk memulakan perniagaannya. Namun ayahnya membantah keras kerana pernah gagal dalam perniagaan dahulu (kerana tiada naluri dalam perniagaan; entahlah betul atau tidak).

Guru menjadi pedagang kain polyester di Bombay. Dengan wang simpanan dan mas kahwin yang diterima (di India mas kahwin menjadi hakmilik orang lelaki), Guru memulakan perniagaan dari peringkat bawah. Pendek kata berkat ketekunan dan kesungguhannya dia berjaya membina empayar perniagaannya sehingga membina empat (4) buah kilang kain yang besar. Kejayaannya disulami bermacam-macam mehnah (dugaan) sehinggakan didakwa atas 29 tuduhan (hanya 2 sahaja yang disabitkan bersalah) dan menghadapi lumpuh separuh badan. Tabahnya Gurubhai…

IBU / ISTERI

Di samping Gurubhai ada seseorang yang begitu mengangkat darjatnya. Iaitu isterinya (lupa nama wataknya) yang dibawakan oleh Aishwarya Rai. Setianya menemani suaminya di masa senang dan susah dan apabila suaminya berada dalam tekanan yang amat sangat watak si isteri tetap tenang. Suasana bahagia mereka memuncak apabila dikurniakan dua pasang kembar perempuan di saat kejatuhan sementara Gurubhai…

Hampir-hampir cerita ini membuatkan NaZ menitiskan airmata setelah ada satu cerita tunggal yang selari dengan perjalanan hidup NaZ pernah dilayarperakkan. Namun hati yang keras dan amat sukar merintih ini amat susah untuk menerima kenyataan bahawa cerita ini menyedhkan. Cukuplah dengan menyatakan cerita ini banyak memberikan keinsafan.

Cubalah cari di pasaran dan jadikan koleksi anda…
Share

Thursday, May 7, 2009

LIDAH DAN PISAU

Apabila membincangkan tajuk yang agak ekstrim ini, bukanlah bermaksud mengajak para bloggers sekalian untuk turun ke gelanggang atau medan pertikaman. Cuma berhasrat mengajak untuk membincangkan apa yang patut terbit daripada dua (2) elemen perbincangan ini.
Apabila berbicara tentang lidah dan digabungkan dengan pisau ini, pertama sekali pasti tidak lari daripada tanggapan negatif kemudian barulah kita akan berfikir secara rasional. Perkataan yang paling negatif untuk mengungkapkan kedua-dua elemen perbincangan ini ialah "CANTAS".

Bunyinya memang negatif tetapi itulah hakikat yang bersarang di fikiran kita. Tak lepas-lepas daripada memikirkan yang negatif sahaja. Sedangkan dengan sedikit percambahan benih di minda segala yang negatif itu boleh di "full-swing" dan juga dengan sedikit inisiatif untuk "berfikir di luar kotak", segalanya akan menerbitkan satu buah fikiran yang bernas.

NaZ pandai cakap, cuba hurai?! Bukan pandai cakap atau berhujah. Cuma berkongsi rasa. Andalah yang akan meng'elaborasi' segalanya. Buah fikiran andalah yang akan NaZ ambil sebagai pengalaman dan pengajaran. Harap dapat berkongsi segala pengalaman anda.

Berbalik pada topik kita; Lidah dan Pisau, jika dikaji pada sifatnya didapati ada persamaan; iaitu menghiris. Lidah jika tidak dijaga akan menghiris hati orang lain. Bak kata pepatah 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'. Akibat lidahlah manusia bersengketa sampai ada yang berbunuh-bunuhan; selari dengan sifat negatif pisau iaitu digunakan untuk membunuh!

Aduhai! NaZ minta tinggalkanlah fikiran negatif ini. Cuma menyentuh sedikit kerana tidak mahu dikatakan sebagai tidak mengambil tahu langsung ataupun tidak tahu langsung!

NaZ guna pisau untuk mempertahankan diri...!;)

Share

Wednesday, May 6, 2009

KATA-KATA BIJAK PANDAI


JADILAH BENIH YANG BERNAS
SERIBU TAHUN DIJEMUR PANAS
DIGETUS DIGETAS BINATANG BUAS
TETAP TUMBUH MENCETUS TUNAS


Sesuatu yang amat menarik untuk diperbincangkan. Rangkap gurindam di atas betul-betul menarik perasaan NaZ terutama sekali sebagai anak rantau yang amat memerlukan kekuatan dalam membawa diri.
Sepertimana kata-kata orang bijak pandai juga dahulu kala, NaZ suka untuk memetik kata-kata ini..

Jadilah kamu benih yang subur
Dicampak ke tanah menjadi pohon
Dihanyut ke laut menjadi pulau
Dilontar ke udara menjadi awan

Mungkin ada perubahan di antara bait-bait dan perenggannya tetapi maksud yang ingin disampaikan tetap sama, iaitu jadilah ORANG YANG BERGUNA walaupun di mana sahaja kita berada. Bak petikan lirik Mantera Beradu dendangan Malique dan M. Nasir yang paling NaZ tersentuh mendengar

Kucing bawa tidur rimau bawa igau
Masuk tempat orang bawa otak bukan pisau

Berbudilah apabila di perantauan. Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk ke bumi. Walaupun ilmu penuh di dada tak bererti kalau segalanya tak dilaksana. masuk tempat orang dengan persahabatan dan persaudaraan, bukannya menbawa persengketaan ataupun perbalahan.

Memang agak susah untuk menjadi yang terbaik namun tiada insan yang sempurna. Yang penting jangan jadi yang terbaik tetapi jadilah yang baik sahaja. Ambil inspirasi dan pengalaman daripada orang-orang lama, yang terdahulu dari kita. Berkongsi rasa dan cerita serta suka dan derita mereka. Adalah mutiara yang terpendam yang akan dapat kita temui apabila kita betul-betul selami sedalam-dalamnya.

Koma...
Share